Matius
1 Inilah salasilah Isa al-Masih, keturunan Daud, keturunan Ibrahim.
17 Dengan demikian, ada empat belas keturunan dari Ibrahim hingga ke Daud; empat belas keturunan dari Daud hingga ke masa pembuangan di Babel; dan empat belas keturunan dari masa itu hingga kelahiran al-Masih.
18 Inilah kisah kelahiran Isa al-Masih: Ibu-Nya, Maryam bertunang dengan Yusuf, tetapi sebelum perkahwinan mereka dilangsungkan, Maryam mengandung melalui kuasa Roh Suci. 19 Yusuf, seorang yang takwa dan berakhlak, tidak mahu memalukan Maryam di mata masyarakat. Dia berniat memutuskan pertunangan mereka secara diam-diam.
20 Dia memikirkan hal itu sehalus-halusnya. Suatu malam dia bermimpi malaikat Tuhan memperlihatkan diri kepadanya lalu berkata, ‘Hai Yusuf keturunan Daud! Janganlah takut mengambil Maryam sebagai isterimu. Dia mengandung melalui kuasa Roh Suci. 21 Maryam akan melahirkan seorang anak lelaki. Namakanlah anak itu Isa. Dia akan menyelamatkan umat-Nya daripada dosa mereka.’
22 Segala ini terjadi supaya berlakulah firman Tuhan melalui nabi-Nya: 23 ‘Seorang anak dara akan mengandung, dan melahirkan seorang anak lelaki, maka Anak itu akan dipanggil Immanuel’ bererti, ‘Allah menyertai kita’ dalam bahasa Ibrani.
24 Apabila Yusuf terjaga, dia pun mematuhi apa yang disampaikan oleh malaikat Tuhan itu lalu berkahwin dengan Maryam. 25 Tetapi Yusuf tidak menyentuh Maryam sebagai isterinya hinggalah Maryam melahirkan Anak itu. Yusuf menamai Anak itu Isa.
Matius 2 ->