5 Akan tetapi beberapa orang daripada mazhab Farisi yang telah mempercayai Isa bangkit lalu berkata, ‘Orang bangsa asing itu haruslah disunat dan wajib menurut Taurat Musa.’
6 Para rasul dan tua-tua berkumpul untuk menyelidik serta membincangkan perkara itu. 7 Setelah perkara itu banyak dibincangkan, Petrus berdiri lalu berkata, ‘Saudara-saudara semuanya tahu bahawa Allah telah memilihku sejak dahulu kala dari kalangan kita semua untuk menyampaikan firman-Nya tentang berita baik kepada bangsa asing, lalu mereka percaya. 8 Allah yang mengetahui hati manusia telah bersaksi akan mereka itu dan memberi mereka Roh Suci sebagaimana diberi-Nya kepada kita. 9 Allah tidak membezakan mereka dengan kita sedikit pun. Dia menyucikan hati mereka kerana iman mereka. 10 Sekarang ini mengapa saudara-saudara menduga Allah dengan meletakkan ke atas mereka suatu beban yang tidak dapat ditanggung oleh nenek moyang kita, malah oleh kita ini juga? 11 Kami percaya hanya dengan kasih kurnia Junjungan Isa dapat kita berharap untuk diselamatkan, samalah seperti orang bangsa asing itu.’
12 Orang ramai pun diam lalu mendengar Barnabas dan Paulus menceritakan segala alamat dan mukjizat yang dilakukan Allah di kalangan bangsa asing melalui mereka berdua. 13 Setelah mereka habis bercerita, Yakobus pula berkata, ‘Saudara-saudara, dengarlah. 14 Simon telah menceritakan bagaimana Allah pada mulanya menunjukkan kasih-Nya kepada orang bangsa asing dan memilih dari kalangan mereka suatu kaum untuk menjadi umat-Nya. 15 Hal ini selaras dengan nubuat nabi-nabi yang tersurat:
22 Selepas itu, para rasul dan tua-tua serta seluruh jemaah bersetuju memilih beberapa orang di antara mereka untuk ke Antiokhia bersama Paulus dan Barnabas. Orang yang dipilih itu ialah Yudas yang bergelar Barsabas, dan juga Silas, yang mengetuai saudara-saudara itu. 23 Mereka diamanahkan membawa sepucuk surat yang berbunyi:
30 Mereka yang diutus itu bertolak ke Antiokhia. Di sana mereka menghimpunkan jemaah dan menyampaikan surat. 31 Apabila jemaah membaca surat itu, mereka bersukacita kerana surat itu memberi perangsang kepada mereka. 32 Yudas dan Silas itu kedua-duanya nabi. Mereka menasihati dan menetapkan hati saudara-saudara seiman di situ. 33 Setelah Yudas dan Silas tinggal di situ, jemaah melepaskan mereka untuk pulang dengan sejahtera kepada orang yang mengutus mereka. 34 Akan tetapi Silas memutuskan untuk tetap tinggal di Antiokhia. 35 Paulus dan Barnabas tinggal di situ beberapa lama sambil mengajar dan menyampaikan firman Tuhan bersama ramai orang lain.
36 Kemudian, Paulus berkata kepada Barnabas, ‘Sekarang baiklah kita melawat semula saudara-saudara yang percaya kepada Isa di semua kota yang telah kita sampaikan firman Tuhan, untuk melihat bagaimana hal mereka.’ 37 Barnabas hendak membawa Yahya yang juga bergelar Markus 38 tetapi Paulus tidak bersetuju kerana Markus telah meninggalkan mereka di Pamfilia dan tidak ikut serta menjalankan tugas. 39 Oleh itu timbul perselisihan sengit dan mereka berpisah: Barnabas membawa Markus belayar ke Siprus 40 manakala Paulus memilih Silas sebagai teman seperjalanannya. Setelah jemaah menyerahkan mereka kepada kasih kurnia Tuhan, mereka pun berangkat. 41 Mereka menjelajahi Siria dan Kilikia sambil menetapkan hati jemaah di situ.
<- Kisah Para Rasul 14Kisah Para Rasul 16 ->