1 Aku harap kamu akan bersabar dengan satu kebodohan kecilku. Sememangnya kamu bersabar denganku. 2 Aku cemburu terhadapmu dengan cemburu ilahi; kerana aku telah menunangkan kamu dengan al-Masih dan ingin menyerahkanmu kepada-Nya sebagai anak dara yang suci. 3 Tetapi aku takut kalau-kalau fikiranmu akan dicemari sebagaimana Hawa telah diperdaya oleh ular dengan kepintarannya, sehingga kamu berpaling daripada kesetiaanmu yang murni kepada al-Masih. 4 Jika seseorang datang mengajar tentang Isa yang lain daripada yang kami ajarkan; atau kamu memperoleh roh yang lain daripada yang telah kamu peroleh, atau Injil yang lain daripada yang telah kamu terima; mungkin sekali kamu bersabar sahaja terhadapnya. 5 Aku rasa aku tidaklah kurang berbanding rasul-rasul yang unggul itu. 6 Sungguhpun aku tidak terlatih dalam bertutur kata, namun aku tidaklah kekurangan dalam pengetahuan. Kami telah ternyata sepenuhnya kepadamu dalam segala hal.
7 Berdosakah aku merendahkan diriku supaya kamu ditinggikan, kerana aku mengajarkan Injil Allah kepadamu tanpa mengenakan bayaran? 8 Aku telah ‘merompak’ jemaah-jemaah lain dengan menerima ganjaran daripada mereka untuk melayanimu. 9 Apabila aku berada di kalanganmu, dalam keadaanku yang serba kurang, aku tidak membebani sesiapapun di antaramu; kerana segala keperluanku dipenuhi oleh saudara-saudara kita dari Makedonia. Dalam segala hal aku memastikan bahawa aku tidak menjadi beban kepadamu; dan demikianlah akan terus kulakukan. 10 Sebagaimana kebenaran al-Masih tetap ada dalam diriku, tiada siapapun akan menghalangku daripada berbangga dalam hal ini di wilayah Akhaya. 11 Mengapa? Kerana aku tidak mengasihimu? Allah yang tahu! 12 Tetapi aku akan terus melakukan apa yang kulakukan sekarang, untuk menutup peluang bagi mereka yang mencari peluang supaya dianggap sama dengan kami dalam hal-hal yang mereka banggakan.
13 Mereka adalah rasul palsu. Mereka berusaha dengan tipu daya dan menyamar sebagai rasul al-Masih. 14 Ini tidaklah menghairankan, kerana Iblis sendiri menyamar sebagai malaikat cahaya. 15 Oleh itu bukanlah suatu hal yang menakjubkan jika pelayan-pelayannya menyamar sebagai pelayan-pelayan yang benar. Akhirnya mereka akan menerima balasan setimpal dengan apa yang mereka kerjakan.
16 Sekali lagi aku berkata, janganlah sesiapa menyangka aku bodoh. Tetapi sekiranya aku disangka begitu, terimalah aku sebagai orang bodoh, agar aku dapat berbangga sedikit. 17 Apa yang kukatakan ini bukanlah menurut al-Masih tetapi selaku orang bodoh dalam keyakinan berbangga. 18 Memandangkan ramai orang yang berbangga secara lahiriah, maka aku akan berbangga juga; 19 kerana kamu begitu senang hati bersabar dengan orang bodoh, sedangkan kamu bijak. 20 Kamu bersabar dengan orang yang memperhamba kamu, yang menelanmu, yang memerangkapmu dengan tipu helah, yang meninggikan dirinya, yang menampar mukamu. 21 Dalam hal demikian, dengan rasa malu aku mengaku, kami memang lemah.
30 Sekiranya aku hendak berbangga, aku akan berbangga tentang kelemahan-kelemahanku. 31 Allah, Bapa Junjungan Isa yang terpuji selama-lamanya, tahu bahawa aku tidak berdusta. 32 Gabenor kota Damsyik, di bawah pemerintahan Raja Aretas, menyuruh agar kota itu dijaga oleh tentera, untuk menangkapku. 33 Tetapi aku diturunkan dalam sebuah bakul melalui sebuah jendela di tembok kota itu, lalu aku terlepas dari tangannya.
<- 2 Korintus 102 Korintus 12 ->